Menteri Pendidikan TS Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa mulai tahun depan, semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi boleh mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran. Menurutnya, kaedah ini merupakan kaedah yang terbaik dalam pemberian biasiswa kepada pelajar yang cemerlang dalam subjek terbabit.
Kalau ini merupakan kaedah yang betul-betul terbaik selepas perbincangan Menteri Pendidikan, Timbalannya, dan ketua-ketua jabatannya, saya terpaksa menyatakan kekecewaan saya terhadap prestasi mereka dalam menangani perkara ini.
Kita sedar bahawa persaingan ekonomi antara negara semakin hebat ekoran daripada globalisasi. Justeru itu, pucuk pimpinan sesebuah negara mempunyai tanggungjawab wajib untuk menumpulkan aspek pembangunan modal insan supaya pembangunan negara ini tidak ketinggalan dan sentiasa bergantung pada pakar luar negara sahaja.
Sebagai ibu bapa, mereka pasti ingin mendidik anak mereka sebaik mungkin tanpa sekatan. Setiap murid sekolah mempunyai kepakaran dan keupayaan yang berbeza, sekiranya anak-anak kita berupaya menangani lebih mata pelajaran, maka tidaklah harus kita mengehadkan pilihan mereka dan Kementerian Pendidikan juga tidak berhak untuk menentukan masa depan mereka.
Saya mengecam kenyataan Muhyiddin Yassin tentang jumlah pelajar yang mengambil lebih 10 subjek pada peperiksaan SPM tahun lalu tidak banyak iaitu cuma 48,000 pelajar. Pada pendapat saya, masa depan anak-anak murid negara kita tidak patut dikorbankan semata-mata hanya kerana pihak Kementerian Pendidikan tidak dapat melahirkan satu cara yang baik dalam pemberian biasiswa JPA.
Sekiranya Kementerian Pendidikan tiada pakar dalam membincangkan isu pemberian biasiswa JPA, mereka boleh membincangkan perkara ini di dalam parlimen.
Saya tidak nampak bagaimana kaedah ini dapat memberikan impak positif terhadap guru di sekolah kononnya mereka boleh menumpukan khusus kepada 10 subjek berkenaan, sedangkan guru yang mengajar pelajar tingkatan lima hanya seorang guru mengajar satu mata pelajaran sahaja.
Pihak Kementerian Pendidikan juga tidak harus pura-pura bertimbang rasa terhadap ibu bapa kononnya kaedah ini boleh meringankan beban ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen. Muhyiddin Yassin seharusnya memahami kesanggupan ibu bapa dalam mengorbankan masa, tenaga dan wang mereka demi masa depan anak-anak mereka kerana Muhyiddin Yassin juga seorang ayah terhadap anak-anaknya. Kenyataan Muhyiddin Yassin semata-mata menafikan kesanggupan ibu bapa untuk berkorban demi anak-anak mereka.
Cadangan kita ialah pemberian biasiswa JPA ini diberi mengikut ketinggian peratusan pencapaian A oleh pelajar. Misalnya, kalau seseorang pelajar mengambil 15 mata pelajaran dan dia memperoleh 13A, maka Pencapaian Peratusan A pelajar ini adalah 87%.
Kerajaan seharusnya memandang serious dengan mengutarakan pelan yang komprehensif dalam menangani isu pemberian biasiswa JPA kerana sebarang kaedah yang dilaksanakan akan mempengaruhi tahap pencapaian generasi yang akan datang. Kalau isu pemberian biasiswa JPA dibangkitkan hanya kerana jumlah kuantiti kuota tidak mencukupi untuk memuaskan semua pelajar yang cemerlang, maka kerajaan haruslah menaikkan bilangan pemberiannya, tetapi bukan mengehadkan prestasi pelajar dalam multi-kebolehan.
Kalau dana kerajaan tidak cukup untuk membiayai pelajar dalam biasiswa ini, maka kerajaan harus mengelak projek-projek gajah putih yang membazirkan duit rakyat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment